Siapa klik dia orang yang mulia...

Friday, July 17, 2009

Perlu fikir cara baru

Anak : Perlu Cara Baru?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


ANAK-ANAKKU




"Allah suka orang yang solat"

"Kalau kita tidak solat, Allah akan bakar dalam api, panas api tu macam termakan nugget panas, sakit mulut kan, itu baru sikit belum terbakar lagi?"

Inilah bentuk-bentuk bahasa yang biasa kita cuba gunakan dalam memberikan nasihat kepada anak-anak kita yang berumur sekitar 4-9 tahun. Tepat tak cara dan bahasa yang digunakan itu atau terlalu rendah? Atau mungkinkah terlalu tinggi?

MINDA KITA DAN ANAK

Pada kebiasaannya, jika saya tidak menghadiri ceramah atau kuliah maghrib, saya sekeluarga akan mengadakan tazkirah ahli keluarga. Pada mulanya saya seorang atau isteri yang akan memberi pengisian kepada anak kami seramai empat orang.

Secara peribadi saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih ayat dan perkataan yang sesuai semasa memberikan tazkirah, kerana bimbang anak saya yang berumur 9 dan 7 tahun gagal menangkap mesej saya.

Namun, setelah berfikir kembali, saya kira ini adalah masalah pertama saya agaknya. Bagi saya kita tidak patut terlalu merendahkan kemampuan anak untuk memahami sesuatu. Kerana apabila melihat kertas-kertas jawapan sekolah mereka, saya menjadi kagum pula dengan kemampuan mereka menjawab soalan yang saya fikir anak berumur 7 tahun tidak mampu.

Mana tidaknya, di zaman saya darjah satu dulu, baru nak belajar " A-Y-A-M" bunyinya ayam , " B-O- L-A" ialah BOLA dan lain-lain. Silibus darjah satu hari ini sudah berbeza, sudah semakin tinggi. Cuba anda buat semakan kertas soalan darjah satu anak anda.

Justeru sebagai ibu bapa, perlu menangkap perbezaan ini jika mereka mahu memahami anak mereka. Jangan asyik bangga dengan alasan makan garam dulu sahaja.

MASALAH RUMIT MAMPU DIFAHAMI

Pernah banyak kali apabila saya dan isteri berbincang berkenaan masalah yang agak rumit dengan bahasa yang dikira bahasa orang dewasa, tetapi disampuk dan ditanya oleh anak-anak. Kami tidak pula sangka mereka memahaminya.

"Ummi, tadi kat sekolah kawan kata mak dia parti xx " kata anak saya berumur tujuh tahun

"Lepas tu kak ngah pun cakap la, mana boleh sokong xx ni, kita kena sokong xxx sebab ..." ulasnya.

Hmm..angkat kening juga saya

Kami tidak pernah mengajarnya bercakap demikian secara specifik, hanya cakap-cakap umum di rumah dan perbincangan-perbincangan dengan isteri. Tidak pula saya sangka anak-anak yang duduk di sekeliling kami sambil bermain-main, waktu yang sama beberapa point termasuk hal politik juga boleh masuk dalam kepala dan minda mereka. Lebih hebat dari itu, MEREKA MAMPU MEMBUAT kesimpulan.!

Mungkin ini salah satu perkara yang mana ramai ibu bapa hari ini terlepas pandang. Kita kerap kali tersilap perkiraan dengan kefahaman anak-anak. Rancangan televisyen yang kita sangka tidak memberi pengaruh kepada anak (mungkin kerana dijangka kandungan yang agak tinggi dan bahasa yang agak rumit), kerana hanya beberapa saat adegan yang tidak baik, rupanya memberi kesan ‘sesuatu' di mindanya. Sebab itu, sebagai ibu dan bapa, kita wajib mengawal rancangan televisyen yang ditonton, kartun yang dilihat, iklan yang dipapar. Pastikan remote sentiasa dekat dengan anda.

Bayangkan dalam sesebuah keluarga yang tidak aman dan sering bergaduh, pastinya anak akan dapat membuat kesimpulan tertentu. Mereka juga boleh tertekan tanpa disedari oleh ibu bapa. Justeru, jangan remehkan kemampuan minda anak di zaman ini.

PENGALAMAN SAYA

Memberi ceramah kepada orang awam, golongan elit, middle class, super VIP, ahli perbankan, dan bercampur dengan ahli akademik peringkat Universiti menjadikan saya sedikit sukar untuk cuba berada di posisi kanak-kanak sekolah rendah.

Saya sudah terbiasa apabila dijemput ceramah di mana-mana jua atau menulis artikel seperti ini, saya akan berusaha meletakkan diri saya sebagai pembaca dan pendengar tahap biasa. Dengan demikian, ia merangsang minda saya untuk memberikan contoh-contoh, rantaian maklumat dan info yang sesuai agar audien dapat menangkap maksud saya.

Namun, memberi tazkirah kepada anak-anak saya agak sukar nampaknya, adakalanya apabila saya menganggap ia faham, apabila ditanya rupanya terdapat beberapa perkataan yang gagal difahami. Tetapi kegagalan memahami beberapa perkataan adakalanya tidak menghalangnya dari memahami mesej penuh dari ayat.

Lalu saya baiki dalam tazkirah seterusnya, perkataan dipermudahkan lagi. Namun masih wujud masalah lagi iaitu ayat yang panjang-panjang dengan bahasa standard biasanya merumitkan mereka.

Lantas dibaiki lagi. Ayat pendek-pendek, ringkas dan mudah dilontarkan, namun mesti tetap ada logik dan penjelasannya. Walaupun demikian, saya masih tertanya-tanya samada ‘ok' atau tidak.

SISTEM GILIRAN

Justeru, untuk hasil yang lebih baik, kali ini kami melakukan sistem penggiliran takzirah. Bukan giliran antara saya dan isteri sahaja, malah juga dua anak kami yang berumur 7 dan 9 tahun ini. Mereka akan diminta memberi tazkirah. Pada mulanya mereka agak blank bila diberi peluang bercakap dan kami sebagai pendengar. Inilah masanya kami menjadi pendengar yang terbaik terhadap apa yang ingin mereka perkatakan.

Lama-kelamaan mereka semakin cekap menyusun ayat, mengatur isi, dan adakalanya mereka mempersembahkan isi kandungan matapelajaran di sekolah mereka atau diceduk dari majalah-majalah Islam untuk kanak-kanak. Malah mereka juga boleh menceritakan apa-apa perkara yang berlaku di sekolah. Ini masa untuk kami mendengar dengan teliti. Amat baik inshaAllah.!

Sering saya baca dan dengar dari mereka yang pakar dalam bidang keibubapaan dan keluarga ini. Terdapat anak yang tertekan kerana jarang diberi peluang untuk bercakap dengan ibu bapanya. Saya kira cara ini mampu membantu si anak merasa dihargai idea mereka. Ia menjadikan mereka lebih ringan menyatakan pendapat mereka dalam keadaan lain. Dengan itu, perasaan tidak puas hati yang mungkin terbuku sehingga dewasa akan dapat ditangani.

Selain itu, saya dapat melihat bagaimana bentuk ayat-ayat yang mereka mampu faham, iaitu melalui ayat yang mereka sendiri karangkan. Selain itu, dapat melihat peningkatan gaya bahasa mereka. Selepas itu, setiap tazkirah, bahasa yang hampir sama juga perlu kami gunakan dalam tazkirah kami dan Alhamdulillah.

Namun, sampai bila kita perlu memudahkan ayat dan perkataan?. Bukankah sepatutnya sekali sekala kita gunakan bahasa dan isi yang sedikit tinggi, dengan demikian mampu merangsang minda anak-anak ini agar berfikir sedikit keras dari biasa. Justeru, mungkin kita boleh mengubahnya dari masa ke semasa.

ADUAN & LATARBELAKANG

Cuba teliti perbualan di bawah :

"Ayah, ada surat dari cikgu" kata anak

Jawapan ibu bapa : hmm nanti ayah tengok

"kena beli buku tulis" kata anak

Jawapan ibu bapa : "Nantilah, buku tulis dulu pergi mana"

"Cikgu minta belikan hadiah, kalau tidak cikgu kata tak nak masuk lagi kelas ni" kata anak

Jawapan ibu bapa : Apa la cikgu ni. Tidak perlu beli la, cikgu main-main aja tu.

"Buku tak ingat letak mana" kata anak

Jawapan ibu bapa : Tak pe, nanti cari kemudian, subjek tu bukan ada pun hari ini kan

Banyak kali aduan anak-anak kita di sekolah rendah yang mungkin seperti yang saya sebutkan di atas tadi. Namun bagaimanakah respon kita agaknya?

Adakah sebagaimana yang saya andaikan tadi atau bagaimana?

Anak saya sendiri selalu mengadu dan minta itu ini tentang urusan di sekolahnya. Tidak dapat saya nafikan, adakala saya merasa isunya terlalu kecil dan dan tidak wajar dirisaukan.

Akhirnya kebanyakan ibu bapa tidak mengendahkannya, sedangkan si anak merasa amat bimbang dan takut. Adakalanya takut dan bimbang mereka ada asasnya, mungkin disebabkan guru-guru yang garang, atau tidak suka dan malu didenda, tidak suka dipermain kawan dan sebab-sebab lain. Namun ada kalanya juga kebimbangan anak itu tiada banyak asasnya. Hanya sangkaan mindanya bahawa ia akan dimarahi gurunya.

Selain bertanya dengan jelas dan tenang kepada si anak, elok juga jika kita dapat mengimbau kembali kepada keadaan dan perasaan kita semasa berada di darjah satu. Setelah mengingat perasaan silam tersebut, inshaAllah kita akan dapat lebih memahami mengapa si anak merasa sangat bimbang, sedih, menangis dan sebagainya. Saya sendiri masih ingat ketika di darjah satu dulu, jika saya tertinggal walau satu buku risaunya bukan kepalang.

Malah dalam Islam juga, amat penting untuk kita memahami siapa di depan kita apabila mendengar idea dan apa jua pandangan mereka. Moga dengannya kita akan jadi lebih memahami.

Kerana itu, saya merasa amat sukar apabila ada individu menghantar sms bertanya hukum itu dan ini tanpa memperkenalkan diri dan latar belakang. Sukar bagi saya memberi jawapan. Tambahan pula soalannya pelbagai dan saya tiada idea siapa di sebelah sana dan bagaimana latarbelakang ilmunya.

Justeru, jika menghubungi saya atau sms terus ke handphone saya dan email, sila berikan sedikit latarbelakang anda. Demikian juga apabila anak mengadu, cuba bayangkan kita berada di posisi mereka. Dengan itu, kita akan menjadi lebih toleran dan understanding.

Demikian sedikit coretan saya untuk tatapan semua. Moga ada manfaat dari saya yang bukan pakar dalam bidang keibubapaan dan pendidikan anak-anak ini. Sekadar perkongsian idea. Sebarang idea yang baik dan membina hasil pengalaman dan pembacaan anda, amat dialukan untuk perkongsian di ruang komen.



Sekian


dipetik dari :

www.zaharuddin.net

Apa ranking?

Check Page Rank of any web site pages instantly:
  
This free page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service